Monday, December 22, 2008

A homage part 2

Aku balik dari Phuket hari semalam, 21 Disember. Baru hari ni aku buka internet dan melihat blog aku. Jera ada komen dalam entri ‘A homage’. Dia komen camni:

“teringat aku masa2 kita kat subang dulu. masa arwah kena pukul, ilang motor. al-fatihah”.

Kemudian aku reply komen dia, tapi aku rasa dah jadik macam entri pulak, sebab panjang berjela. Dah macam nak jadi ‘A homage part 2’ pulak. Keinginan untuk menjadikan reply untuk komen Jera sebagai sekuel untuk entri ‘A homage’ ini menjadi lebih kuat sejurus selepas aku baca monologue yang tulis oleh Rahmat Haron dalam Ricecooker. Rahmat tulis camni:

“saat mengenang pemergian, kenapa selalu setelah mati barulah orang mahu peduli?”

Memang ada benarnya. Tetapi bagi sesetengah antara kami yang sememangnya peduli perihal arwah Syukree sejak beliau masih bernafas melata di muka bumi ini sehingga dia menghembuskan nafas terakhir agak sedikit tersinggung dengan kenyataan tersebut. Tak kiralah sama ada buruk atau baik arwah semasa hidup, aku memang sarankan cerita kisah hidup beliau diteruskan sehingga kamu-kamu (tak kira la sama ada musuh ataupun sekutu) dan kami-kami mempunyai anak cucu. Malah lagi baik kalau cerita tentang arwah diteruskan sampai bila-bila. Sebab… arwah ni memang urban legend yang seharusnya diceritakan dan diperbincangkan.

Okey la, kat bawah ni adalah sebenarnya harus menjadi reply untuk komen Jera, tapi dijadikan entri disebabkan dirasakan berbaloi untuk ditatap terus oleh orang-orang yang baca blog aku ni. Hmm… kalau ada la.

“Tadi aku taip panjang masa nak reply message kau ni Jera, tapi tah apa sengal takleh keluar pulak comment aku tadi. Haram betul. Aku singkatkan je la apa yang dah aku taip tadi.

Pasal arwah kena pukul tu, aku dah beritahu dia awal-awal jangan pergi. Kalau nak pergi, call aku awal-awal dulu supaya aku boleh ikut. Tapi yang 'best'nya, arwah pergi juga dengan pengetahuan aku namun ketika arwah sedang menuju ke gig tersebut. Aku yang pada ketika itu sedang beraktiviti di tempat lain, tak boleh nak buat apa, cuma cakap dengan dia sekali supaya jangan pergi. Arwah terkenal dengan sifat degil dan berpegang teguh kepada belief-nya, tetap pergi tanpa menghiraukan nasihat aku. Sejam kemudian aku try call, takde jawapan. Waktu malam dia call aku sewaktu melepak di ss15 subang, memberitahu dia dipukul. "Aku dah agak!", jerit aku melalui telefon separa marah. Marah dengan kesingkatan otak kedua belah pihak, terutama terhadap geng 'hardcore violence' yang aku kenal secara peribadi seorang demi seorang. Perkara berlanjutan dengan perang mulut/message board di antara anarcho/hardcore subang dan geng 'hardcore violence' yang membawa kepada perbincangan semeja di subang. Namun aku hilang kawalan sehingga hampir menterbalikkan meja di situ. Tiada kata pasti dicapai ketika itu, namun semua yang terlibat mengambil jalan tengah tak mau ambil port hal masing-masing. Dan perpecahan telah berlaku. Ia lebih kepada 'it's time to see who's who'. Segala kuping, nanah, kudis terbongkar dan fokus 'perjuangan' setiap pihak mula tersingkap.

Kali terakhir aku bersua dengan arwah adalah pada hari Khamis, 4 Disember (sehari sebelum arwah pulang ke Terengganu untuk menyambut Aidiladha bersama keluarga) selepas membuat pasport antarabangsa (ya, aku agak lewat mempunyai passport antarabangsa. Mak bapak aku tak kasik aku duit nak buat passport sepertimana orang lain yang hanya baru berumur 5 tahun sudah mempunyainya. Aku buat passport guna duit aku sendiri. So what?). Yang pelik, aku tanpa ragu-ragu memonteng sehari dari kerja semata-mata mau melepak dengan arwah. Padahal lepas habis buat pasport tu boleh je aku ke tempat kerja. Seperti ada sesuatu yang bakal berlaku, naluri aku seperti tahu itu kali terakhir aku spend time dengan dia. Bermula di Bangsar, arwah membawa aku ke Pelita Hati menunjukkan foto beliau mengangkat jenazah Shamsiah Fakeh yang terpamer di situ. Beliau ada berkata, "foto ni salah satu antara harga yang termahal dijual dalam pameran ni". Kini aku tahu, sebab ia termahal bukan saja sebab foto itu berkaitan dengan Shamsiah Fakeh, tetapi arwah juga seperti ingin memberitahu kepada aku bahawa gambar itu juga merakam detik-detik bersejarah terakhir beliau sebelum meninggalkan kita semua. Semasa menunggu hujan reda sebelum ke rumah abangnya di Brickfields, arwah sempat online dan tunjukkan blog 'hatiku' beliau yang ditutup daripada tatapan umum. Arwah ada beritahu password blog tersebut kepada aku, sejurus selepas itu dia ada cakap, "aku terpaksa tutup blog ni, sebab ramai yang tak suka dan sakit hati". Aku jawab, "it's okay, ada baiknya camtu sebab tak ramai yang dapat dan faham apa yang kau cuba sampaikan. Tak ramai juga yang cuba tak mahu faham dan tak cuba mahu faham apa yang kau tulis. It's better to be kept this way". Demi menghormati pendirian dan keputusan beliau, aku dah lupakan password tersebut dan simpan dalam peti rahsia otak aku jauh-jauh. Satu lagi keajaiban (bagi aku la), walaupun aku boleh dikategorikan sebagai ‘artist’ (ehems!), aku tak pernah sekali pun menjejakkan kaki ke Pelita Hati tu, padahal dekat je dengan LRT Bangsar dan area-area tu dulu rajin jugak aku melepak. Kalau nak diikutkan, sebagai salah seorang yang tak begitu jauh dari dunia seni atau bidang artistic local ni, aku sepatutnya telah lama menjejakkan kaki di situ, sementelah lagi nama-nama orang yang memiliki tempat tu takde la begitu asing bagi aku. Seorang dua pelopor tempat tu adalah lecturer aku kat ITM dulu. Dah ramai benar rakan-rakan aku ajak ke Pelita Hati, tapi tetap juga aku tak berminat untuk ke situ. Tanpa aku menyedari sebabnya, hari itulah pertama kali aku ke Pelita Hati dan hari itu jugalah buat kali terakhir aku bersua dengan arwah.

Tak lama lepas tu, kami ambil keputusan meredah hujan ke rumah abangnya dengan beliau tidak memakai helmet sebagai pembonceng. Di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Total outlaw! With Syukree, semuanya boleh. Hehe. Di rumah abangnya, arwah meluahkan rasa hatinya... aku buat-buat tak fokus dengan harapan arwah tidak terbawa-bawa dengan emosinya. Arwah juga ada cakap yang dia kurang rehat dan kurang tidur. Dalam kepala dia ada macam-macam termasuk nak settle down. Ada juga arwah tunjuk bakal calon settle down-nya... boleh tahan juga orangnya. Arwah terlelap kemudiannya, tetapi tidak aku... aku asyik merenung arwah sambil sekali-sekala membaca penulisannya di akhbar Watan yang baru tersiar. "You've done well, my friend", bisik hatiku selepas membaca penulisan arwah. Ya, Syukree banyak berubah selepas 'pulih' dari sakitnya setahun yang lepas (November 2007). Dia juga ada cakap, "Aku seperti mati hidup semula. Tuhan bagi aku peluang sekali lagi untuk memperbaiki diri dan memperbetulkan mana yang silap". Nyata, setahun itu tidak lama. Arwah telah pergi dan aku yakin dia telah mengubah nasib dan dirinya sejak setahun yang lepas.

Selepas hujan agak reda, arwah meminta aku menghantarnya ke KLCC. Kami mengharungi kesesakan lalu lintas sambil meredah hujan renyai. "Kalau selalu bawak motor redah traffic jam camni boleh kurus Ki", ujar arwah berseloroh. Haha. Lepas hantar arwah, aku memecut pulang ke Bukit Damansara. Dalam fokus mencilok kereta-kereta di sepanjang jalan, aku terfikir tak pernah dibuat Syukree minta aku hantar sampai ke KLCC dari Brickfields. Biasanya dia akan minta aku hantar di KL Sentral ataupun di perhentian bas yang berhampiran. Jarang dia ni menyusahkan kawab-kawan. Apa yang aku agak hairan, dengan selamba je aku cakap, "boleh!", tanpa banyak soal untuk hantar dia ke KLCC walaupun hujan masa tu renyai yang agak konsisten lebatnya. Yang dia pulak macam dah pasti sangat aku takkan menolak. Hmm...

Aku yang ketika itu sudah mempunyai passport untuk keluar dari Malaysia pada 19 Disember, namun arwah terlebih dahulu telah pergi ke dunia lain 2 hari lebih awal (17 Disember); seperti yang diimpikan olehnya. Aku ada memberitahu arwah yang aku akan ke Phuket, dia senyum sahaja dan cakap, “selamat pergi, selamatlah balik ye”. Tidak seperti yang selalu aku kenal, dia akan cakap camni, “buat mende pergi sana? Kat Malaysia kan banyak lagi tempat yang best?”. Haha.

Masa dia buat protes separuh bogel tu aku tengah sibuk buat persiapan dan attend persandingan abang ipar aku yang kebetulan bertarikh sama. Tambahan lagi aku agak demam teruk pada malamnya. Arwah ada sms aku, tapi nak buat camne… dah keadaan tak mengizinkan, kalau takde aral melintang masa tu boleh je aku turun. Aku balas sms arwah, dimulakan dengan “Maaf, tidak dapat hadir”. Yang aku boleh buat masa tu adalah harapan supaya arwah tidak melakukan protes itu seorang diri. Namun apa yang aku sangkakan benar-benar berlaku; arwah menjayakan protes itu seorang diri! Aku sedih dan mengeluh panjang selepas melihat video protes arwah, namun tetap berbangga kerana mempunyai rakan yang sebegitu berani seperti beliau. Tak ramai yang sanggup buat macam tu.

Aku ingat lagi masa pertama kali dia menyuarakan hasrat untuk buat protes tu, aku ada tanya, “betul ke kau nak buat?”. Dia balas, “ye la. Nak takut mende? Mati? Buat apa takut mati? Aku tak takut mati. Semua orang pun akan merasa mati. Dah memang tertulis dah pun, kan?”.

Sepertimana yang kita semua tahu, jarang kita akan mendapat kata setuju dari beliau, tapi perdebatan aku dengan arwah jarang membawa sengketa yang berlarutan. Selalunya kata sepakat akan dicapai tak sampai sejam, mungkin kerana sifat berfikiran positif dan sifat optimistic kami yang tidak banyak beza. Cuma arwah seorang yang agak provokatif dan ekstrem dalam tindakan serta lantang menyuarakan pendapat dan pendirian. Kalau sesiapa tak suka kat dia, lantaklah kan? Kira nasib la sebab tak dapat kenal dengan arwah dengan lebih rapat. Keunikan dan nilai persahabatan bagi arwah memang tinggi. Sering juga aku ziarah arwah ke rumah sewanya dulu semata-mata nak membuang masa… dan arwah tanpa ragu-ragu melayan karenah aku. Haha.

Al-Fatihah."


Sekian...

6 comments:

Siti Jenar AKA said...

aku ingat lagi benda2 tu. mungkin idea dia tidak selari atau mungkin berbelit2 hingga sudah untuk diterima. namun keberanian dia tu bukan ade pada semua org. cam protes BNB tu aku yakin bukan semua org mampu buat termasuk aku sendiri. apa2 pun al-fatihah untuk arwah :(

aedie azrul said...

one of a kind....

Zach Van Alley said...

Yes,

Both of you were right.

And the lunch that I had after visiting arwah was so tasteless.

I'm also wonder what is the taste of food 'over there' gonna be like?

zeezam said...

semuanya yg kau cerita ni aku ingat zaki :)

dia mmg provokatif tapi biasanya aku akan senyum aje dgn perangai dia tu.

aku selalu jumpa dia kat bau bau cafe dan last jumpa dia kat bau bau cafe time ada launching EP band 2nd floor to jump dan dia sebuk memainkan klip alam kubur kat laptopnya.

dan sebelum dia blah pegi paul's place dengan budak budak C.Dung, kitorg duk gelakkan dia sbb tak jumpa helmet dia padahal benda tu ada kat depan mata je. hehe.

pagi tu bila aku dpt sms dia dah meninggal, aku mmg terkejut sgt. mula mula mcm tak percaya. yerlah, arwah kan suka main main tapi bila alind kata betul, baru aku percaya. aku terus fwd kat semua org dan aku duk pikir, zaki dah tau ke? aku agak risau sbb aku takde no kau. huhu.

mcm tu lah. sori ler tulis mcm berterabur. apa apa pun, lebih kurg seminggu gak la aku terkilan tak dpt pegi UH.

semoga dia aman kat sana.

Zach Van Alley said...

Mula-mula aku dapat message dari Pijan. Then berpusu-pusu message masuk dari kawan-kawan lain. Aku call Ibrahim untuk kepastian. Nyata benar.

Arwah tahu kawan-kawan sayang kat dia. Sebab tu dia nak jumpa kawan-kawan sebelum dia pergi.

Yes, semoga dia aman di sana.

zeezam said...

ya..