Friday, January 19, 2007

NAPALM DEATH: Legenda Yang Terus Hidup

Masih ingat lagi ‘Napalm Death Malaysia Tour’ yang berlangsung pada tahun 2001? Detik tersebut sudah pasti menggamit nostalgia yang amat berharga bagi peminat Napalm Death di Malaysia. Bagi penggemar muzik ekstrem 'Grindcore', Napalm Death bukanlah satu nama baru. Selama 25 tahun kewujudan sejak 1982 (bermula dengan demo pertama, Punk Is A Rotting Corpse) sehingga kini, Napalm Death masih tidak lepas disebut sebagai pemangkin genre muzik sealirannya. Revolusi yang dibawa oleh Napalm Death telah mempengaruhi sejumlah besar pemuzik ekstrem yang ketika ini amat dikenali di seantero dunia seperti Brutal Truth, Terrorizer, Nasum, Agathocles, Discordance Axis, Demisor dan beberapa nama besar yang lain. Legasi sebagai pelopor yang tertera dalam sejarah muzik ekstrem tidak menjadikan Napalm Death hanya menyepikan diri sambil menikmati gelaran tersebut atau hanya memerhatikan kewujudan band-band sepertinya dari suatu sudut yang terpencil. Napalm Death bertindak terus aktif dan bersama-sama memperjuangkan apa yang telah mereka bina selama ini. Buktinya, gergasi Grindcore ini telah menggegar dunia dengan album terbaru, Smear Campaign pada September 2006.


SMEAR CAMPAIGN: LEGASI DAN SENSITIVITI TERBARU
Nampaknya Napalm Death masih menaruh kepercayaan terhadap Century Media Records dalam meriliskan album mereka dan Russ Russel masih tetap diberikan mandat sebagai penerbit. Smear Campaign yang mengandungi 16 track berdurasi 45:09 saat ini tamat proses rakamannya pada Jun 2006 dan telah diriliskan pada 15 September 2006. Selain daripada format CD normal, ia juga diriliskan dalam edisi digipack (digital packaging) yang mengandungi 2 track bonus tambahan iaitu “Call That An Option?” dan “Atheist Runt”. Ia disertakan sekali dengan percuma sticker grafik daripada kulit album. Ternyata album ini tidak hilang intensitinya sepertimana yang dianggap oleh segelintir peminat dan pengkritik. Ramai menaruh kepercayaan bahawa album ini tidak akan dapat menandingi kehebatan album Napalm Death terdahulu terutama sekali The Code Is Red…Long Live The Code yang menemui pasaran tahun 2005. Tidak kurang juga desas-desus memperkatakan bahawa Napalm Death berkemungkinan akan hilang taring dan kekurangan idea atas sebab kewujudan mereka yang boleh dianggap terlalu lama bertakhta di persada industri muzik ekstrem. Namun jelas, Napalm Death sekali lagi mengulangi evolusi (dan revolusi) yang melanda muzik ekstrem ketika mula keluarnya album Scum pada tahun 1987 dan inovasi bunyi yang terkandung dalam album Fear, Emptiness, Despair pada tahun 1994. Mereka semakin mengorak langkah dalam memodenkan olahan bunyi, penulisan lirik/lagu di samping pengalaman membuat persembahan. Kontinjen Grindcore dari United Kingdom ini dikenalpasti telah mempelajari bagaimana menghasilkan muzik yang bukan sahaja ekstrem tetapi sedap didengar dan mampu terngiang-ngiang di halwa telinga penggemarnya.

Ramai menaruh kepercayaan bahawa album ini tidak akan dapat menandingi kehebatan album Napalm Death terdahulu…

Saya amat menyukai lagu “Fatalist” oleh kerana susunannya yang pelbagai di dalam jajahan genre Doom-Punk/Crust. Sementara “Puritanical Punishment Beating” pula menghidangkan kita kepada fast number yang ‘kejam’ dan sangat tepat; sesuai untuk para pendengar yang dahagakan muzik pantas dan bertenaga. Irama Grindcore yang berpada sememangnya menguasai segenap produksi album ini, namun percampuran pengaruh muzik Punk yang agak ketara dalam penulisan lagu mereka mengingatkan kita kepada band Post-Industrial/Art Rock dari New York, USA iaitu Swans. Juga tidak disangkal bahawa Swans telah sekian lama sedikit sebanyak mempengaruhi bunyi yang dibawakan oleh Napalm Death. Bagi pendengar yang biasa dengan band Anarcho Punk, Crass dari United Kingdom pasti dapat mengenalpasti inspirasi yang ketara daripada band tersebut bagi album ini. Sememangnya, Napalm Death juga telah menjadikan Crass sebagai inspirasi utama sejak awal penubuhan mereka. Malah perlu diakui bahawa Smear Campaign seharusnya diakui sebagai dokumentasi Napalm Death yang tulen. Mark ‘Barney’ Greenway meneruskan tradisi dinamik sebagai vokalis dengan menyumbangkan pelbagai tona suara dan pendekatan vokal, akan tetapi tetap menumpukan kekuatan pada kebiasaan gaya vokalnya iaitu growl dan grunt seperti haiwan karnivor ingin menerkam mangsa. Namun perlu dinyatakan di sini bahawa Mark ‘Barney’ Greenway mengamalkan gaya hidup seorang vegetarian! Vokal bagi lagu “Freedom Is The Wage Of Sin” agak sempurna dalam penaakulan muzik ekstrem Grindcore, sementara gaya vokal seakan mengaum dalam lagu “Shattered Existence” telah membawa track ini ke tahap yang menakjubkan. Di sini anda akan menjumpai contoh yang tepat dan memberangsangkan bagi era moden muzik Napalm Death. “Saya menulis 95% bagi lirik dalam album ini. Ini kerana saya mempunyai motivasi yang kuat untuk menulisnya dan saya adalah vokalis Napalm Death. Saya tidak begitu kisah jika seseorang hanya ingin mendengar muzik dan tidak peduli akan lirik ataupun mesej di sebaliknya. Itu pilihan hak masing-masing. Walaupun begitu, kejahilan dan sikap tidak ambil peduli sememangnya musuh terbesar dalam kehidupan dunia yang dikatakan aman ini”, Mark ‘Barney’ Greenway memberi kenyaatan. Lirik Smear Campaign memfokuskan subjek terhadap sistem sosial dan politik terutama sekali sistem perundangan yang berpandukan ketenteraan serta peperangan sebagai resolusi kepada semua permasalahan. Di sini kita boleh lihat sekali lagi bahawa pengaruh Crass bagi olahan lirik tetap menebal dalam tradisi mesej yang cuba disampaikan oleh Napalm Death. “Orang menggelar saya ‘aktivis politikal’. Akan tetapi saya sebenarnya lebih kepada asas pemikiran bebas, kesamarataan sosial dan kemanusiaan. Tidak kira dalam sistem apa pun kita hidup, sama ada kanan ataupun kiri… penindasan dan eksploitasi manusia tidak seharusnya berlaku walau dari sistem mana pun ia datang”, ujar Mark ‘Barney’ Greenway menjelaskan.

“Saya tidak begitu kisah jika seseorang hanya ingin mendengar muzik dan tidak peduli akan lirik ataupun mesej di sebaliknya. Itu pilihan hak masing-masing” – Mark ‘Barney’ Greenway

Mitch Harris sering menjaga tona gitar yang mana memainkan peranan dan impak besar dalam muzik Napalm Death. Permainannya untuk Smear Campaign begitu bertenaga; daripada efek petikan gitar yang kacau bilau dan berkarakteristik seperti dalam lagu “Rabid Wolves (For Christ)” kepada permainan pantas dan groovy di dalam “Sink Fast, Let Go” hinggalah kepada riff yang berat dan perlahan serta sedikit sentuhan ‘doom’ seperti tradisi band Black Sabbath dalam track tajuk album iaitu "Smear Campaign”. Danny Herrera seperti biasa mantap di posisi dram dan penulisan lagu yang dinamik dalam Smear Campaign memberinya peluang mempelbagaikan skil pukulan dram; daripada blast beat yang pantas kepada down beat yang berat dan perlahan. Danny Herrera berjaya mewarnai serta memberikan suasana pada keseluruhan track yang terdapat dalam album ini. Shane Embury masih bertanggungjawab mendera gitar bass membentuk asas yang kukuh dalam struktur muzik Smear Campaign. Permainannya nyata matang dan jelas kedengaran terutamanya dalam track “In Deference” dan ‘Identity Crisis”. Kali ini Napalm Death menampilkan Anneke van Giersbergen, vokalis band Progressive Rock/Gothic Metal dari Holland iaitu The Gathering sebagai vokalis jemputan bagi lagu “Weltschmerz” dan "In Deference". Mark ‘Barney’ Greenway memberitahu, “Anneke telah menawarkan beberapa bahagian vokal untuk track yang terpilih. Ramai membuat andaian bahawa album ini akan menjadi Opera Rock sepertimana hasil kerja Anneke untuk The Gathering. Namun ramai tidak menyangka, efek vokal yang dihasilkan sangat relevan bagi track tersebut. Ianya begitu berhasil dan bertenaga. Kami amat berterima kasih terhadap Anneke atas penglibatannya”. Sahih, selepas mendengar lontaran vokal oleh Anneke van Giersbergen, saya tanpa ragu-ragu menyetujui kata-kata Mark ‘Barney’ Greenway. Tekstur lagu yang menampilkan suara beliau berjaya memberikan perasaan baru dalam muzik Napalm Death. Terus sahaja perkataan progresif, eksperimental dan idea segar segera terpacul dari ruang minda. Ya, itu adalah ayat yang paling sesuai bagi situasi ini. “Sebenarnya tiada perancangan yang hebat tentang bagaimana album ini akan dihasilkan. Saya tahu ramai di luar sana tidak sependapat dengan saya mengenai perkara ini, namun apa yang kami fikirkan ialah ingin mengeluarkan album yang terbaik setiap kali mula menghasilkan material terbaru. Kami hanya lakukan apa yang kami suka. Kami juga suka menghasilkan sesuatu yang progresif kerana mengeluarkan album yang sama nilainya berulang kali adalah membosankan dan ia seperti membohongi peminat serta diri kami sendiri”, jelas Mark ‘Barney’ Greenway dengan lebih lanjut.

“…mengeluarkan album yang sama nilainya berulang kali adalah membosankan dan ia seperti membohongi peminat serta diri kami sendiri” – Mark ‘Barney’ Greenway

Setelah mengalami pelbagai formasi ahli, tentu sekali ramai tertanya mengenai genre muzik yang dibawakan Napalm Death kini. Berhubung perkara tersebut, Mark ‘Barney’ Greenway menjelaskan, “dalam istilah genre di mana kami bernaung, susah pasti Grindcore. Namun terdapat pelbagai istilah berbeza telah diberikan kepada Napalm Death dan saya dapati ianya menarik. Saya benar-benar tidak gusar mengenai persepsi orang terhadap kami. Tiada masalah langsung”. Napalm Death diakui tetap terus menerajui lapangan muzik ekstrem terutamanya Grindcore. Pandangan optimis dan keyakinan terhadap genre yang dihasilkan oleh mereka sendiri telah memberikan hasil lumayan seperti sebuah hasil kraf yang tiada tolok bandingnya. Muzik yang penuh intensiti serta penuh berjiwa ini wajar diberi penghormatan dan penghargaan.

“Saya benar-benar tidak gusar mengenai persepsi orang terhadap kami. Tiada masalah langsung”
– Mark ‘Barney’ Greenway


Smear Campaign pada hemat saya tidak menghampakan peminat sama ada bagi mereka yang telah mengikuti sejak dari awal penubuhan ataupun kepada mereka yang baru sahaja ingin berjinak dengan Napalm Death. “Saya hanya fokus terhadap muzik, persahabatan dan keinginan melakukan perubahan dalam skala yang besar. Itulah yang saya mahukan sejak mula menceburkan diri dalam bidang ini. Ketika pertama kali Napalm Death mendapat tumpuan dunia, saya berpendapat ia merupakan petanda baik buat diri saya dan band ini”, tambah Mark ‘Barney’ Greenway. Bagi anda yang telah lama mendampingi setiap rilisan band ini, Smear Campaign adalah cenderahati baru buat anda. Dan bagi anda yang baru mengenali Napalm Death, terimalah muzik ekstrem dalam erti kata sebenar. Berdasarkan perjalanan karier selama 25 tahun yang dialami oleh Napalm Death, kini mereka telah membawakan satu lagi penangan berbisa buat semua.


SCUM: SEBUAH KELAHIRAN EKSTREM
P
erlu dinyatakan di sini bahawa era kegemilangan Napalm Death bermula dengan album studio pertama mereka iaitu Scum. Album yang berdurasi 33:04 saat ini telah diriliskan oleh label terkenal, Earache Records di Nottingham, United Kingdom pada Julai 1987 dan Digby Pearson (yang juga merupakan pemilik Earache Records) bertindak sebagai penerbit. Kos rakaman bahagian A di Rich Bitch Studio (Birmingham, England) pada Ogos 1986 hanya menelan belanja sejumlah £50.00/±RM343.60 sahaja. Pada mulanya track² tersebut direncanakan sebagai rilisan bersama (split release) dengan band Hardcore/Thrash dari England, Atavistic di bawah naungan Manic Ears Records (Bristol, England). Terdapat 8 track dalam bahagian A album ini diambil daripada demo From Enslavement To Obliteration yang dirakamkan pada 3 Mac 1986. Ini bermakna 4 track lain dalam bahagian A adalah lagu yang dirakamkan khas untuk album Scum iaitu “Scum”, “Polluted Minds”, “Born on Your Knees” & “Human Garbage”. Dan terdapat 5 track daripada 13 track demo From Enslavement To Obliteration tidak terkandung dalam album Scum iaitu “Unclean”, “What Man Can Do”, “Death By Manipulation”, “Abbatoir” dan “Private Death”. Selepas menjalani pertukaran ahli secara drastik, bahagian B kemudiannya dirakam pada Mei 1987 di studio yang sama. Hanya pemain dram, Mick Harris (ketika itu juga merupakan pemain dram bagi band Thrash/Crust Punk, Doom dan band Crust/Grindcore, Extreme Noise Terror) sahaja yang terlibat dalam kedua-dua bahagian. Album ini memuatkan 28 buah lagu penuh protes dan bertenaga termasuk sebuah lagu berjudul “You Suffer” yang telah dicatatkan di dalam Guinness Book of Records sebagai lagu terpendek di dunia; track lagu ini berdurasi 1.316 saat sahaja. Lirik lagunya yang berbunyi "You suffer, but why?" masih diingati sebagai gubahan kata-kata yang sangat mudah dan efektif dalam sejarah muzik esktrem sekali gus berjaya mengajak pendengar berfikir sejenak mengenai bait yang mempunyai maksud mendalam serta menjana minda ini. Namun begitu di dalam demo From Enslavement To Obliteration, versi lagu ini berdurasi 7 saat dan mempunyai jawapan kepada persoalan “Kamu menderita, tetapi kenapa?”. Saya syorkan supaya anda cari sendiri. Barulah mencabar namanya…

“You suffer, but why?” – Napalm Death

Cetakan CD pertama (format asal adalah piring hitam 12”/LP) pada tahun 1988 mengandungi 54 track termasuk lagu yang terdapat dalam album From Enslavement To Obliteration berserta dengan 4 track bonus tambahan. Pada tahun 2005 pula, album ini telah dicalonkan sebagai 50th Best British Album sepanjang zaman oleh pembaca majalah mingguan muzik UK, Kerrang! Ia adalah berdasarkan pakej lengkap yang telah dihasilkan oleh Napalm Death sendiri. Jika diperhatikan secara halus, album ini sememangnya terbaik berbanding dengan album-album selepasnya.

Pada tahun 2005, Scum telah dicalonkan sebagai 50th Best British Album sepanjang zaman oleh majalah Kerrang!

Olahan rentaknya yang pantas dan pelbagai; adunan blast beat genre Hardcore dan Punk disulami irama Metal bersama mesej berbaur politikal dan kemanusiaan menjadikan album ini antara yang paling unik ketika itu. Gubahan lirik ringkas namun padat yang terkandung dalam album Scum telah menjadi tradisi bagi penulisan lirik Napalm Death sehingga kini. Baca sahaja petikan lirik lagu “Instinct Of Survival” yang berbunyi, "The multinational corporations, makes its profit from the starving nations, indigenous peoples become their slaves, from their births into their graves". Jelas ianya secara terang-terangan menegur keburukan korporasi-korporasi multinasional yang bertindak sebagai jentera penggerak sistem kapitalisme. Malah ternyata kritikannya masih relevan serta boleh diterima pakai hingga kini. Nicholas Bullen (vokalis/pemain gitar bass bahagian A) & Justin Brodrick (gitaris/vokalis bahagian A) & Lee Dorrian (vokalis bahagian B) merupakan individu yang bertanggungjawab merekabentuk gaya penulisan Napalm Death bagi album Scum. James Whitley (pemain gitar bass bahagian B) dan Bill Steer (pemain gitar bahagian B) adalah antara individu lain yang turut sama dalam produksi ini.

Jelas ianya secara terang-terangan menegur keburukan korporasi-korporasi multinasional yang bertindak sebagai jentera penggerak sistem kapitalisme. Malah ternyata kritikannya masih relevan serta boleh diterima pakai hingga kini.

Rekaan kulit album ini telah mendapat sentuhan daripada rakan mereka, Jeffrey Walker yang juga ketika itu merupakan pemain gitar bass/vokalis bagi band Death Metal/Grindcore iaitu Carcass (juga dianggotai oleh Bill Steer sebagai pemain gitar/vokalis dan selaku pengasas pada tahun 1985) dan pemain gitar/vokalis bagi band Proto-Grindcore/Crust Hardcore Punk, Electro Hippies; kedua-dua band berasal dari Liverpool, England. Bertanyakan mengenai kulit album Scum, Mark 'Barney' Greenway mengulas, "Ya, Jeffrey Walker yang menghasilkan lukisan tersebut. Jika diperhatikan dengan teliti, ia sebenarnya dihasilkan dengan olahan titik berulang. Imej menampilkan beberapa orang ketua industri dan ahli perniagaan berdiri mengelilingi mangsa kebuluran di Afrika. Ia berkenaan sistem yang mengeksploitasi bumi & penduduknya. Anda juga dapat lihat nama-nama korporasi mulitnasional tertera di situ dan 'makhluk besar' yang berada di belakang. Bagi saya, ia masih merupakan kulit album yang mantap". Ketelitian olahan lukisan serta susunan objek seperti teknik kolaj yang dipilih memenuhi ruang kulit album ini diakui terbaik malah ia merupakan hasil karya Jeffrey Walker yang terunggul selama pembabitannya dalam bidang seni. Walau bagaimana gah sekalipun diperkatakan mengenai Scum, 4 buah demo Napalm Death yang terdahulu iaitu Punk Is A Rotting Corpse (1982), Like Sheep We All Have Gone Astray (1983), Hatred Surge (1985) dan From Enslavement To Obliteration tidak harus dilupakan kerana ia tetap menjadi titik tolak kepada kehebatan album Scum & album-album/rilisan-rilisan selepas itu secara asasnya.


ALBUM² LAIN OLEH NAPALM DEATH

FROM ENSLAVEMENT TO OBLITERATION
Album ini menggunakan nama yang sama dengan demo terdahulu. Namun begitu, hanya satu lagu sahaja dalam album ini yang terdapat dalam demo tersebut iaitu “Private Death”. Album ini diriliskan pada Oktober 1988 oleh Earache Records dan Digby Pearson sekali lagi bertanggungjawab sebagai penerbit. Ia mengandungi 27 track dan berdurasi 34:18 saat. Satu-satunya album Napalm Death yang menampilkan Lee Dorrian sebagai vokalis secara berseorangan selepas Justin Brodrick dan Nicholas Bullen menarik diri. Untuk album ini Lee Dorrian telah menyumbangkan pelbagai gaya vokal; daripada suara key rendah, grunt & growl hinggalah kepada jeritan statik dengan suara yang nyaring.




HARMONY CORRUPTION
Persembahan album ini lebih menjurus kepada genre Death Metal berbanding Grindcore. Dan ini sama sekali bercanggah dengan pemahaman audiens mengenai rencah yang biasa di bawa oleh Napalm Death. Ramai beranggapan bahawa ini hanyalah perubahan sementara bagi arah tuju muzik Napalm Death secara amnya. Harmony Corruption diriliskan pada 1 Ogos 1990 oleh Earache Records. Kali ini Napalm Death meletak kepercayaan kepada Scott Burns sebagai penerbit. Album ini berdurasi 41:02 saat bagi 11 track utama & penambahan 6 track daripada EP Mentally Murdered yang dimuatkan dalam penghujung album ini menjadikan ia berdurasi 56:42 saat. John Tardy (vokalis band Death Metal, Obituary) dan Glen Benton (pemain gitar bass dan vokalis band Death Metal, Deicide) dijemput sebagai vokalis pembantu (backing vocal) bagi lagu “Unfit Earth”. Kedua-dua mereka berasal daripada Florida, USA. Jesse Pintado (bekas pemain gitar band Grindcore, Terrorizer) yang menyertai Napalm Death pada tahun 1989 telah memikul tanggungjawab sebagai pemain gitar bermula dengan album ini. Dia menggantikan Bill Steer yang ingin menumpukan sepenuh perhatian terhadap Carcass.

UTOPIA BANISHED
Durasi album Utopia Banished adalah 39:04 saat bagi 15 track keseluruhan. Diriliskan pada Mei 1992 oleh Earache Records dan di terbitkan oleh Colin Richardson. Bagi edisi khas album ini, ia disertakan dengan CD bonus 4 track berukuran 3”. Untuk rilisan piring hitam 12”/LP pula disertakan dengan bonus piring hitam 7” serta mengandungi material yang sama. Gabungan genre Death Metal dan Grindcore memberi kata putus kepada peminat-peminat mengenai hala tuju muzik Napalm Death. Mereka berjaya membuktikan bahawa gabungan 2 genre muzik ini mampu menghasilkan inovasi muzik yang menarik. Bermula dengan Utopia Banished, gabungan genre Death Metal dan Grindcore telah serasi serta menjadi trademark muzik tradisi bagi Napalm Death hingga kini.


FEAR, EMPTINESS, DESPAIR
Dianggap sebagai album eksperimental pertama oleh Napalm Death. Album ini banyak mengetengahkan riff-riff gitar berjiwa Metal yang groovy serta struktur lagunya lebih ke arah komposisi genre Industrial Metal. Fear, Emptiness, Despair diriliskan pada 31 Mei 1994 oleh Earache Records dan diterbitkan oleh Pete Coleman. Ia mempunyai 13 track yang berdurasi 45:38 saat keseluruhannya.






DIATRIBES
Diriliskan pada 30 Januari 1996 oleh Earache Records dan diterbitkan oleh Colin Richardson. Mempunyai 12 track yang berdurasi 44:16 saat keseluruhannya. Tradisi album Fear, Emptiness, Despair diteruskan dalam Diatribes dengan riff-riff gitar yang groovy di samping komposisi lagu yang semakin kompleks. Peminat kebanyakannya kecewa dengan album ini kerana ia dikatakan terus menyimpang daripada tradisi kebiasaan muzik Napalm Death.





INSIDE THE TORN APART
Diriliskan pada 3 Jun 1997 oleh Earache Records dan diterbitkan oleh Colin Richardson. Mempunyai 12 track yang berdurasi 41:31 saat keseluruhannya. Album ini juga diriliskan dalam edisi digipack yang mengandungi 2 track bonus tambahan iaitu “Time Will Come” dan “Bled Dry”.





WORDS FROM THE EXIT WOUND
Diriliskan pada 26 Oktober 1998 oleh Earache Records dan diterbitkan oleh Colin Richardson. Mempunyai 15 track yang berdurasi 48:24 saat termasuk 3 track bonus daripada album live Bootlegged in Japan yang dirakam pada 5 Ogos 1996 di konsert yang berlangsung di Liquid Room, Tokyo, Jepun.







ENEMY OF THE MUSIC BUSINESS
Diriliskan pada 25 September 2000 oleh Spitfire Records, diterbitkan oleh Russ Russell dan Simon Efemey. Mempunyai 14 track yang berdurasi 45:31 saat keseluruhannya. Album ini adalah rilisan terakhir penglibatan Jesse Pintado dalam Napalm Death. Intipati Enemy Of The Music Business lebih berdasarkan kepada kekecewaan terhadap syarikat rakaman mereka terdahulu iaitu Earache Records.




ORDER OF THE LEECH
Diriliskan pada 21 Oktober 2002 oleh Spitfire Records, diterbitkan oleh Russ Russell dan Simon Efemey. Mempunyai 12 track yang berdurasi 44:39 saat keseluruhannya. Bagi edisi pasaran Jepun terbitan/edaran Toy Factory, terdapat dua track bonus tambahan iaitu “Terror Rain” dan “Thaw”. Jesse Pintado telah menulis beberapa buah lagu untuk album ini namun tidak memainkannya. Mitch Harris bertindak memainkan lagu-lagu tersebut bagi proses rakaman.







LEADERS NOT FOLLOWERS: PART 2

Ini adalah lanjutan kepada 6 track EP Leaders Not Followers pada tahun 1999 dan satu-satunya album yang memuatkan lagu cover daripada band-band Hardcore/Punk serta Heavy Metal kegemaran Napalm Death. Antara lagu-lagu yang terkandung dalam album ini ialah “Lowlife” (Cryptic Slaughter), “Messiah” (Hellhammer), “Victims of a Bomb Raid” (Anti Cimex), “War’s No Fairytale” (Discharge), “Conform” (Siege), “Riot of Violence” (Kreator), “Dope Fiend” (Attitude Adjustment), “Troops of Doom” (Sepultura), “Blind Justice” (Agnostic Front) & “Hate, Fear and Power” (Hirax). Album ini diriliskan pada 23 Ogos 2004 oleh Century Media Records dan diterbitkan oleh Napalm Death sendiri. Ia mempunyai 19 track yang berdurasi 43:09 saat keseluruhannya. Nama Jesse Pintado tertera sebagai ahli kumpulan namun dia tidak terlibat dalam pembikinan album ini. Situasi yang sama seperti album Order Of The Leech, Mitch Harris memainkan kesemua lagu bagi proses rakaman.

THE CODE IS RED...LONG LIVE THE CODE
Diriliskan pada 25 April 2005 oleh Century Media Records dan diterbitkan oleh Russ Russell. Mempunyai 15 track yang berdurasi 45:12 saat keseluruhannya. Bagi edisi pasaran Jepun terbitan/edaran Toy Factory, terdapat dua track bonus tambahan iaitu “Losers” dan “Crash the Pose”. Track tambahan ini bertujuan sebagai tanda terima kasih Napalm Death terhadap peminat-peminat di Jepun yang selama ini menyokong penglibatan mereka dalam seni muzik esktrem. Video muzik “Silence is Deafening” arahan Roger Johansson telah diriliskan tidak lama selepas itu pada tahun yang sama. Jello Biafra (aktivis sosial dan bekas vokalis band Punk, Dead Kennedys) dijemput menyumbangkan vokal untuk lagu “The Great and The Good”, Jamey Jasta (vokalis band Hardcore, Hatebreed) dijemput menyanyikan lagu "Instruments of Persuasion" dan "Sold Short” manakala Jeffrey Walker (kini sebagai artis solo bagi album Welcome to Carcass Cuntry & pemain gitar bass band Extreme Metal/Grindcore, Brujeria) dijemput menyanyikan lagu "Pledge Yourself to You".



AHLI NAPALM DEATH TERKINI


MARK ‘BARNEY’ GREENWAY – Vokalis
Dilahirkan pada 13 Julai 1969 di Kettering, Northamptonshire, England. Menganggotai Napalm Death pada tahun 1989 selepas Lee Dorrian menarik diri bagi menubuhkan band Doom/Heavy Metal, Cathedral. Harmony Corruption (1990) merupakan album pertama penglibatannya dalam Napalm Death. Selain Napalm Death, dia pernah menganggotai Extreme Noise Terror pada tahun 1997 sebagai vokalis bagi album Damage 381 dan vokalis band Death Metal, Benediction antara tahun 1988 hingga 1991. Dikenali melalui teknik vokal ‘death grunt’ yang dalam dan persembahan pentas yang hidup. Inspirasi vokalnya datang daripada pengaruh vokalis band Death Metal, Mantas (nama asal bagi band Death) iaitu Kam Lee. Mark juga terkenal sebagai penyokong kuat organisasi hak asasi haiwan, PETA (People for the Ethical Treatment of Animals) dan telah menjadi vegetarian sejak berumur 14 tahun. Menentang kuat institusi konservatif serta fascisme dan menyokong penuh sistem demokrasi liberal. Semasa tidak bersama Napalm Death pada tahun tahun 1996, Mark menubuhkan band bernama Nothing But Contempt bersama pemain dram band Death Metal, Cancer iaitu Carl Strokes. Selepas Carl meninggalkan Nothing But Contempt, Danny Herrera mengambil alih posisi pemain dram band tersebut. Tidak lama selepas itu, pada tahun 1997 Mark kembali menyertai Napalm Death dan Nothing But Contempt dihentikan buat sementara. Mark memperolehi nama samaran ‘Barney’ melalui tabiat buruk meminum alkohol suatu ketika dulu. Dengan tabiat ini, dia digelar ‘Rubble’, kemudian ‘Barney Rubble’ (karakter fiksyen siri kartun The Flinstones) dan bertukar kepada ‘Barney’ sahaja. Mark juga adalah peminat setia genre Progressive Metal dan penyumbang tetap sebagai pengulas band/album Progressive Metal bagi majalah Kerrang!

SHANE EMBURY – Pemain Bass/Vokal Latar
Dilahirkan pada 27 November 1967. Merupakan satu-satunya individu yang hampir dengan status ‘ahli asal’ kerana menyertai Napalm Death seawal tahun 1987 ketika tour album Scum menggantikan James Whitley bagi posisi pemain bass dan terlibat dalam pembikinan album kedua, From Enslavement to Obliteration pada tahun 1988. Sebelum menyertai Napalm Death, dia bermain bass untuk band Death Metal, Azagthoth dan band Extreme Metal/Grindcore, Unseen Terror (bersama ahli band Thrash/Punk, Heresy) sebagai pemain dram. Warhammer (Death/Thrash Metal) dikatakan sebagai band pertama bagi Shane. Antara projek lain yang disertai oleh Shane termasuk band Hardcore/Industrial, Blood From The Soul (bersama ahli band Hardcore, Sick Of It All), band Experimental/Death Metal, Meathook Seed (bersama Mitch Harris dan ahli band Obituary), band Industrial/Sludge/Ambient, Malformed Earthborn (bersama ahli band Deathgrind, Brutal Truth dan band Metal/Death/Grind, Exit-13), band Death Metal/Grindcore, Brujeria (bersama ahli band Industrial/Metal, Fear Factory dan band Alternative Rock, Faith No More), band Deathgrind, Lock Up (bersama ahli band Hypocrisy, Cradle of Filth, Dimmu Borgir dan Terrorizer), band Crust Punk, Venomous Concept (bersama Danny Herrera, ahli band Brutal Truth dan ahli band Alternative Metal, The Melvins) serta band Alternative/Progressive Rock, Little Giant Drug (bersama Mitch Harris). Shane menggemari filem, komik dan bahan bacaan yang berkaitan dengan fiksyen sains atau seram.

MITCH HARRIS – Pemain Gitar/Vokal Latar
Lahir pada 31 Oktober 1970. Memulakan karier ketika awal tahun 1989 melalui band Hardcore/Deathgrind, Righteous Pigs. Pada tahun itu juga, Mitch telah menubuhkan band projek Death Metal/Grindcore bersama Mick Harris (pemain dram Napalm Death dari tahun 1986 hingga 1991) bernama Defecation. Tidak lama selepas itu, dia meninggalkan Righteous Pigs dan menyertai Napalm Death pada tahun yang sama. Mitch secara rasmi sebagai pemain gitar Napalm Death ketika penglibatannya dalam album Harmony Corruption pada tahun 1990. Dia juga menganggotai band projek seperti Meathook Seed sebagai pemain gitar, Little Giant Drug (juga sebagai pemain gitar) dan band Sludge/Death Metal, Goatlord sebagai vokalis. Dalam Napalm Death, Mitch amat dikenali sebagai vokal latar dengan jeritan nada tinggi dan nyaring bagi menyeimbangkan vokal ‘death grunt’ Mark ‘Barney’ Greenway yang lebih padat.

DANNY HERRERA – Pemain Dram
Berkerakyatan Amerika, berketurunan Mexico dan berasal dari Los Angeles, California, USA. Menyertai Napalm Death sejak tahun 1991 selepas Mick Harris mengambil keputusan meninggalkan Napalm Death bagi menumpukan perhatian terhadap band Industrial/Ambient, Scorn (yang turut dianggotai oleh Nicholas Bullen pada tahun yang sama). Penampilan pertama sebagai pemain dram adalah di dalam album Utopia Banished yang rilis pada tahun 1992. Dia adalah rakan karib kepada Jesse Pintado sejak sebelum menyertai Napalm Death lagi. Mereka berdua sering berlatih muzik bersama dan kerap memainkan lagu-lagu Napalm Death. Oleh sebab itu Danny tidak mengambil masa yang lama untuk memenuhi kekosongan pemain dram yang ditinggalkan oleh Mick Harris. Perkara yang paling mengembirakan ketika itu ialah Danny tidak pernah bermain untuk mana-mana band sebelum Napalm Death. Ahli yang lain berpendapat bahawa amat mudah bekerja dengan Danny kerana dia tidak membawa sebarang pengaruh muzik yang bercanggah dengan konsep Napalm Death buat masa itu. Kini Danny juga bertanggungjawab di posisi dram dalam setiap persembahan live bagi band Industrial/Black Metal/Grindcore dari United Kingdom, Anaal Nathrakh selepas pengunduran pemain dram persembahan live yang asal iaitu Nicholas Barker (juga bekas pemain dram band Cradle of Filth dan Dimmu Borgir). Menurut Mark ‘Barney’ Greenway, Danny Herrera mampu bermain skil dram blast beat hanya dengan menggunakan satu pedal pemijak sahaja.

Napalm Death ditubuhkan pada tahun 1982 di perkampungan Meriden berdekatan Birmingham di United Kingdom. Ia diasaskan oleh dua orang sahabat iaitu Nicholas Bullen dan Miles Ratledge (pemain dram asal dan telah menarik diri selepas demo Hatred Surge) ketika mereka berumur antara 13 hingga 14 tahun dan masih bersekolah. Aktiviti latihan dan perkara yang berkaitan dengan band ini bermula di dalam bilik tidur mereka sejak tahun 1980. Dalam masa yang sama dua sahabat ini bergiat aktif dalam penulisan fanzine. Telah banyak nama terpacul seperti ‘Civil Defence’, ‘The Mess’, ‘Evasion’ dan ‘Undead Hatred’ sebelum nama Napalm Death secara rasmi digunakan pada awal tahun 1982. “Nama Napalm Death diperolehi melalui Nicholas Bullen selepas menonton filem mengenai perang di Vietnam. Jelas sekali nama tersebut berkenaan dengan kenyataan anti perang dan ia telah menjadi konsep Napalm Death hingga ke hari ini”, ulas Mark ‘Barney’ Greenway. Di peringkat permulaan, Napalm Death mendapat inspirasi daripada band-band Punk terawal (terutama band daripada pergerakan Anarcho Punk) seperti Crass, Flux of Pink Indian, Rudimentary Peni dan The Ex. Mereka mula mencampurkan unsur-unsur Post-Punk dan Crust/Metal yang dibawa oleh band seperti Killing Joke dan Amebix dengan pengaruh Thrash/Punk seperti Discharge serta muzik Thrash Metal dari Possessed dan Celtic Frost. Napalm Death ternyata berjaya dengan formula ini. Buktinya dengarkan saja demo Hatred Surge, tentu anda akan setuju dengan kenyataan ini. Dengan rilisnya demo ini mereka banyak mendapat jemputan bermain gig dan konsert-konsert kecil. Memandangkan perkara ini, mereka telah merekodkan demo From Enslavement To Obliteration pada tahun 1986 dan sebuah lagi demo yang akhirnya dimuatkan dalam bahagian A untuk album Scum.

Aktiviti latihan dan perkara yang berkaitan dengan band ini bermula di dalam bilik tidur…

Napalm Death amat dikenali sebagai band pertama yang mencipta genre bergelar Grindcore; percampuran hibrid antara Thrash Metal dan Hardcore Punk. Walaubagaimanapun, genre ini telah berkembang dan sedikit menyimpang daripada muzik asal bermula dengan album Harmony Corruption (1990) yang lebih menjurus kepada genre Death Metal. Perkara ini berterusan untuk beberapa ketika sehinggalah album Enemy Of The Music Business (2000) diriliskan dan ia memberi kelegaan kepada peminat Napalm Death serta para penggemar Grindcore secara amnya. Kini, tiada ahli asal yang masih bersama Napalm Death dan sejak daripada album Scum lagi, tiada seorang pun merupakan ahli asal Napalm Death yang terlibat dalam rakaman di bahagian B. Justin Brodrick yang menyertai Napalm Death pada tahun 1985 telah menarik diri pada penghujung 1986 selepas merakamkan bahagian A album Scum dan kemudian menganggotai band Industrial/Stoner, Head of David di posisi dram sehingga tahun 1989. Dalam masa yang sama pada tahun 1988, Justin Brodrick telah menubuhkan band Industrial Metal, Godflesh. Manakala Nicholas Bullen pula telah hilang minat untuk bersama Napalm Death selepas Justin Brodrick menarik diri. Tambahan lagi muzik Napalm Death yang semakin ke arah Metal ketika itu membuatkan Nicholas Bullen mula tawar hati. Dia menarik diri dari Napalm Death pada Disember 1986 dan melanjutkan pelajaran ke universiti dalam bidang English Literature and Philosophy.

…pada tahun 1988, Justin Brodrick telah menubuhkan band Industrial Metal, Godflesh.

Kebanyakan individu yang pernah menganggotai ataupun masih bersama Napalm Death mempunyai penglibatan secara langsung dalam band-band yang memberikan impak besar dalam scenario dunia muzik ekstrem. Antara band yang terkenal adalah Cathedral dan Teeth of Lions Rule the Divine yang melibatkan Lee Dorrian, Carcass oleh Bill Steer, Godflesh, Jesu dan Final oleh Justin Broadrick, Brujeria oleh Shane Embury, Lock Up oleh Shane Embury dan Jesse Pintado, Meathook Seed oleh Shane Embury dan Mitch Harris, Righteous Pigs dan Goatlord oleh Mitch Harris, Benediction dan Nothing But Contempt oleh Mark ‘Barney’ Greenway, Terrorizer oleh Jesse Pintado serta Doom, Extreme Noise Terror dan Scorn oleh Mick Harris. “Pada pandangan saya, ahli Napalm Death sentiasa menawarkan perkara menarik untuk dikongsi bersama. Namun saya atau sesiapa sahaja tidak mempunyai keistimewaan untuk memberitahu orang lain sama ada kami seharusnya disanjung. Muzik menerangkan segalanya dan ianya bagus jika pendengar memperolehi sesuatu daripadanya. Setiap penggiat muzik harus terus menghasilkan muzik yang menarik daripada hanya duduk diam dan mengharapkan pujian semata-mata”, jelas Mark ‘Barney’ Greenway berhubung perkara ini.

“Setiap penggiat muzik harus terus menghasilkan muzik yang menarik daripada hanya duduk diam dan mengharapkan pujian semata-mata” - Mark ‘Barney’ Greenway

Walaupun Napalm Death merupakan band pertama yang menyebut istilah ‘Grindcore’ bagi mengklasifikasikan jenis muzik yang mereka mainkan, terdapat juga beberapa band yang telah menampilkan gaya muzik hampir sama sezaman dengannya. Antara band yang sangat dekat dengan mereka ialah Siege, Larm, Heresy dan Cryptic Slaughter. Namun begitu, pertembungan elemen Punk yang agresif, tempo yang pantas, unsur Metal yang ketara dan adunan jeritan vokal parau oleh Napalm Death menjadi begitu sinonim dengan genre Grindcore. “Istilah Grindcore dicipta oleh Mick Harris”, tambah Mark ‘Barney’ Greenway. Pada 27 Ogos 2006 (kira-kira 18 hari sebelum rilis album Smear Campaign), bekas pemain gitar iaitu Jesse Pintado telah menghembuskan nafas terkahir di hospital di Holland akibat kerosakan hati yang kronik. Kesemua ahli Napalm Death kini menetap di Wolverhampton, England. “Saya kagum dengan seni bina unik bangunan di Malaysia. Gig yang kami sertai juga sangat menarik dan pengalaman memasuki hutan tropika adalah menakjubkan. Pengalaman lucu yang tidak dapat saya lupakan pada masa itu ialah terdapat sekumpulan monyet telah mencuri minuman Jesse Pintado. Mereka kelihatan lebih bijak daripada Jesse. Haha…”, ulas Mark ‘Barney’ Greenway mengenai ‘Napalm Death Malaysia Tour’ pada tahun 2001 dan mengakhiri temuramah yang berlangsung pada 18 Julai 2006 ketika pra produksi album Smear Campaign.

*Terima kasih kerana membaca sehingga tamat.

No comments: