Monday, October 13, 2008

Raya datang lagi...

Seperti biasa sejurus datangnya syawal, ramai yang membuat entri berkaitan bagaimana hari raya mereka disambut. Jadi entri aku kali ni pun nak ceritakan perjalanan hari raya aku pada tahun ni. Okey, kita mula sekarang:

Raya pertama – Berada di Bukit Damansara bersama in laws sekaliannya. Tengahari ke Hulu Langat, rumah atuk in law. Petang balik kembali ke rumah parents in law. Tidur hingga Maghrib. Kemudian hantar Syed Yunus, nephew in law (abang kepada Syed Yusuf: Gambar di atas) ke Mutiara Damansara dan singgah ke rumah sister in law menjamah kuih raya yang ada. Lebih kurang 9:30 malam, bergegas ke Borders The Curve lalu belek-belek buku dan majalah. End up beli majalah Skyscraper isu 28. Beli majalah ni pun sebab ada temuramah Genghis Tron, Harvey Milk, Melvins, Mick Barr dan The Wedding Present; personaliti dan bands yang lainnya aku kurang peduli sangat. 10:30 malam kembali ke Bukit Damansara, berkemas untuk ke Mersing keesokan harinya.
Raya kedua – Cadang bertolak ke Mersing selepas subuh, namun agak kesiangan ke pukul 9:00 pagi (boleh dikira selepas subuh jugak la kan?). Lantas bersiap sedia untuk perjalanan yang boleh tahan jauh. 10:00 tepat bertolak bersama Leila dan Mak Tah, aunt in law. Perjalanan lancar namun mengambil masa agak lama, 5 jam dari KL ke Mersing, yang seharusnya dalam lingkungan 4 jam sahaja kerana melalui susur jalan lama (sehingga kedapatan tahi gajah yang boleh tahan besar di tengah-tengah jalan dan beberapa papan tanda menunjukkan haiwan-haiwan liar melintas). Walaupun begitu, perjalanan tersebut agak berbaloi kerana terdapat monyet-monyet yang comel ‘menyapa’ kami di pinggir jalan. “Munyit, munyit!”, jerit kami riang sewaktu melihat mereka berpeleseran di pinggir jalan. Sesampai di Mersing dalam pukul 3:00 petang, kami disambut oleh keluarga dan sanak saudara aku (bukan in laws). Tahun ini keluarga aku menyambut hari raya bersama keluarga abah di Mersing. Banyak perubahan di Mersing terutama sekali rumah atuk yang dah besar, bahana Pak Busu me’modified’ rumah lama. Nyata aku lebih suka rumah lama atuk yang klasik dan nostalgik, adik-adik aku pun sependapat dengan aku. Biarpun besar tapi binaan rumah baru telah melenyapkan kenangan kami sekeluarga yang satu ketika dulu sering berkunjung ke rumah atuk bila tiba musim cuti sekolah. Pukul 4:30, Mak Tah mahu ke rumah saudara yang entah tahu entahkan tidak akan kedatangan kami. Berbekalkan maklumat daripada Zul, abang saudara aku, kami bergegas bersama Pak Busu, abah dan emak ke kampung berhampiran mencari rumah yang ingin dituju. Hujan turun dengan lebat di dalam kekalutan kami mencari rumah saudara Mak Tah, yang pastinya saudara Leila juga. Lebih kurang jam 5:30 akhirnya berjumpa juga rumah tersebut. Jadi, Mak Tah bermalam di rumah saudaranya. Kami pulang kembali ke rumah atuk dalam pukul 7:45 petang setelah beramah mesra dengan saudara Mak Tah/Leila yang telah agak lama terpisah. 9:00 malam bersama Leila, mak dan Yati, adik aku ke rumah Tok Busu, adik arwah atok perempuan. Pelik? Memang kami sekeluarga gelar nenek dengan panggilan atok perempuan. Kenapa? Tanya orang Johor yang lain, mungkin kau akan temui jawapannya. Secara peribadi, aku tak tahu nak jawab macam mana. Dalam area 11:45 malam pulang ke rumah atok. Sempat juga ronda-ronda keliling kampung, tunjuk kat Leila kawasan sekitar. Sampai rumah, tunggu abah, Pak Cik dan Pak Busu pulang dari menjaring ikan. Kawasan Mersing memang terkenal dengan tangkapan ikan secara komersil. Pak Busu sendiri mempunyai bot peribadi bagi tujuan tangkapan ikan dan bersiar-siar. Satu lagi fakta, kalau korang rasa Gelang Patah mempunyai otak-otak yang sedap dan Terengganu tersohor dengan keropok lekor yang enak… baik fikir dua kali dulu, Aku rasa otak-otak dan keropok lekor Mersing-lah yang teragung sekali nikmatnya. Cencaluk di Melaka? Apa kata rasa dulu buatan Mersing? Hehe. Bukan saja nak up, rasa sendiri baru tahu. Terangkat! Pukul 1:30 pagi, abah, Pak Cik dan Pak Busu pulang dengan tangkapan yang tak berapa masyuk. Cuaca tak elok katanya. Tak apalah, nak buat camne kan?


Bersambung (aku dah malas dan mengantuk nak tidur)…

Perhatian: Ada beberapa orang rakan bertanya kenapa sejak dua menjak ni aku tulis dalam bahasa Melayu? Tiada jawapan yang spesifik untuk itu, akan tetapi cukuplah kalau aku nyatakan persoalan penggunaan bahasa ini bergantung kepada mood aku. Kalau mood aku nak tulis dalam bahasa Melayu, aku tulislah dalam bahasa Melayu. Kalau terasa nak tulis dalam bahasa Inggeris, maka berbahasa Inggeris-lah entri aku. Satu lagi kekadang bosan juga asyik berbahasa Inggeris sehingga mencapai kapasiti 24 jam. Mana tidaknya… di tempat kerja, aku harus bertutur dalam bahasa Inggeris dan segala bahan penulisan serta bacaan harus dihasilkan dalam bahasa Inggeris juga. Jadi ada baiknya aku sedikit lari dari norma formaliti 9 to 5 yang harus ditempuhi setiap hari. Tapi, kalau kau mengikuti perkembangan blog ni, kau akan dapati yang aku memang tak konsisten menggunakan bahasa Inggeris sahaja. Pada aku, ianya mengikut kesesuaian entri yang hendak ditulis. Nasib baik aku hanya boleh menulis dan bertutur dalam 2 bahasa saja, kalau tak… masak la kau nak baca blog aku yang memungkinkan penggunaan 5 atau 6 bahasa silih berganti bagi setiap entri. Itupun kalau aku boleh menulis dan bertutur dalam 5 atau 6 bahasa berlainan… dan yang paling penting sekali: ITUPUN KALAU KAU PEDULI SERTA ADA BACA BLOG AKU YANG TAK SEPERTINYA INI. Sekian.

Huhu.

2 comments:

aedie azrul said...

Selamat hari raya bro,1st year as hubby kan....congrats..."feel" dia ada lain skit..

Zach Van Alley said...

Selamat hari raya juga.

Memang feel raya bila berdua ni lain sikit.

:)