Perkara menyebut: "Tinggalkanlah kepercayaan yang mempromosi homophobik dan partiaki itu!". Saya percaya bahawa 'kepercayaan' yang dinyatakan adalah kepercayaan berbentuk 'agama'. Yang mana agama dikenalpasti mempunyai sentimen dan elemen berbaur homofobik malahan patriarki di dalam praktikal mahupun teori-teorinya. Agama yang dikenali dan difahami melalui pembelajaran malah pembacaan dan pendengaran (juga tontonan) didapati daripada sumber-sumber yang diperolehi daripada hasil susunan (juga pemahaman) oleh manusia... juga seperti kita.
Perlu difahami, bahawa tidak sebegitu mudah melemparkan sesuatu yang sudah agak sebati dengan diri sejak otak sudah mula menerima kemasukan pemikiran dan pengaruh² persekitaran. Tidak terkecuali juga agama yang sudah mula menusuk masuk dalam diri sejak lahir melalui asuhan² budaya oleh pengasuh mahupun penjaga. Perlu juga dinyatakan di sini, tidak semudah itu juga bagi mereka yang telah mula bijak berfikir untuk melemparkan sesuatu yang mereka percaya selama ini. Bukan membela penganut² agama sekaliannya, namun harus juga diamati akan tindakan mengecam keseluruhan pemeluk² sesuatu agama itu oleh kerana perbuatan sesuatu perkara tersebut terang-terangan (dan kebiasaannya) dilakukan oleh segelintir pendukungnya sahaja. Bak kata pepatah, "Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga". "Seekor kerbau membawa lumpur semuanya terpalit". Hanya kerana badan² berkanun pemegang mandat berorientasikan (dan juga berselindung di sebalik) keagamaan bertindak sedemikian, maka keseluruhan penganut sesuatu agama dikatakan sebegitu dan sebegini sama seperti tindakan pemegang mandat itu tadi.
Hal sama berlaku selepas peristiwa 11 September 2001 di New York dahulu di mana setiap mereka yang berserban dan berjanggut dipandang serong malah dicurigai mempunyai kaitan dengan pengganas serta pendukung plot berani mati melanggar rebah bangunan World Trade Center tersebut! Tuduhan kurang berasas takuk pemerintahan USA yang bersifat serkap jarang seharusnya diambil iktibar dan tidak sepatutnya berulang. Lantas menggegar manusia-manusia beragama supaya meninggalkan kepercayaan mereka seakan seperti tindakan prejudis dan menganggap kesemua mereka yang beragama mempunyai pemikiran yang sama malah sejajar. Kecerdasan minda individu terletak pada individu itu sendiri, bukan bergantung kepada label agama apakah yang mereka anuti. Agama tak beragama adalah pilihan hidup masing-masing.
Atas dasar apa seseorang manusia mahu mengajak supaya mempercaya atau tidak mempercayai sesuatu perkara? Namun pendekatan untuk menerapkan hal sedemikian seharusnya lebih tersusun, tidak hanya laungan slogan dan kata-kata yang tidak mempunyai huraian terperinci. Segelintir yang tidak beragama tidak berpuashati atas 'kejahilan' manusia yang beragama kerana mereka tidak menemui apakah relevannya seseorang itu untuk mempunyai agama. Namun atas dasar apa (serta sebab musababnya) mereka boleh percaya dan menganuti perkara sesuatu agama? Jawapannya: Segelintir tidak beragama ini kurang cuba mendalami duduk perkara bagi tujuan menarik mereka (yang beragama) daripada terus terlena dibuai 'candu' agama. Hujah bernas dan sokongan huraian amat diperlukan di sini atas dasar apa mereka yang beragama harus meninggalkan agama yang mereka anuti selama ini.
Bagi meruntuhkan kepercayaan beragama, sama halnya seperti meruntuhkan kepercayaan moral seseorang. Agama mempersoalkan moraliti yang jelasnya meletakkan nilai² moral kepada setiap manusia sama ada yang menganutinya mahupun tidak. Moral ini diguna pakai secara persetujuan umum oleh penganut-penganutnya. Moral. Ia menjadi persoalan utama mengapa mereka memilih untuk beragama. Namun kasihan, apabila mereka tidak sedar bahawa terdapat sejenis eksploitasi oleh 'tangan² pemegang mandat' yang dinyatakan sebelum ini. Permasalahannya, adakah ianya golongan beragama ataupun 'tangan² pemegang mandat' yang sebenarnya menjadi masalah utama di sini? Benar... 'tangan² pemegang mandat' berkuasa atas sokongan golongan beragama yang buta jahil terlena. Maka sedarkanlah mereka yang beragama buta jahil terlena ini; bukan hanya menyuruh mereka meninggalkan agama semata-mata.
Menggegar manusia-manusia beragama supaya meninggalkan kepercayaan mereka juga seperti menyuruh sesetengah daripada kita yang sudah biasa makan nasi dalam pinggan supaya makan saja dalam periuk. Atas alasan, walau tidak sepraktikal makan nasi dalam pinggan, makan nasi dalam periuk juga boleh diterima akal... walaupun buruk sangat kelihatannya. Jadi atas metafora perbandingan pinggan dan periuk itu tadi, jelas bahawa ini menunjukkan persoalan pilihan jalan kehidupan bagi sesiapa saja di muka bumi ini untuk percaya atau tidak percaya adalah bertitik tolak kepada apa saja yang mereka rasakan terbaik untuk mereka. Jadi, sedarkanlah mereka dan seterusnya tunjukkan alternatif terbaik untuk mereka... bukan hanya tohmahan serta omong kosong semata-mata.
+ Kata² di atas sebenarnya pandangan aku kepada Encik Syukree atas artikelnya yang bertajuk "Percaya untuk tidak percaya". Aku pun tak tahu kenapa aku boleh terpanggil memberi pendapat tentang perkara yang ditulis oleh beliau. Aku juga perasan sejak kebelakangan ini aku dah mula jarang tulis yang serius². Mungkin aku dah malas nak serius sangat... atau mungkin juga kapitalis telah berjaya membuatkan aku letih untuk terus berfikir. Atau mungkin juga tajuk yang digunakan ada kaitan dengan nama blog aku ni; Percaya = Believe atau Trust. In Capital We Trust! Haha. Mungkin... mungkin... mungkin...
No comments:
Post a Comment